Seorang terbunuh dan lima lagi cedera pada Sabtu dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan, menurut sumber Lubnan, Xinhua melaporkan.
Menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, satu serangan ke atas sebuah kereta di timur Zawtar, daerah Nabatieh, membunuh seorang warganegara, lapor Xinhua.
Sumber keselamatan Lubnan dilapor memberitahu Xinhua bahawa yang maut adalah anggota Hizbullah bernama Kamel Rida Qarnabesh.
Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi dilapor berkata, grenad mengejutkan yang dijatuhkan oleh dron Israel mencederakan lima rakyat di pekan Shaqra, daerah Bint Jbeil.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata pada Sabtu dalam satu kenyataan bahawa tentera udaranya menyerang pelancar Hizbullah di selatan Lubnan dan dua tapak tentera Hizbullah di Lembah Beqaa, timur Lubnan, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan lain, IDF dilapor berkata, ia melancarkan serangan udara pada Jumaat dan membunuh seorang militan Hizbullah di kampung Froun, selatan Lubnan.
Menurut laporan Xinhua, IDF mendakwa bahawa sepanjang konflik Israel-Hizbullah, militan telah melancarkan serangan ke atas Israel dan tentera IDF, melanggar persefahaman antara Israel dan Lubnan.
Ia dilaporkan berikrar untuk “terus beroperasi untuk menghapuskan sebarang ancaman” kepada Israel.











