Serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Jumaat membunuh seorang dan mencederakan seorang lagi, berita Anadolu memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan Lubnan.
Agensi itu berkata serangan itu menyasarkan seorang lelaki yang menunggang motosikal di pekan Kounine, di daerah Bint Jbeil, membunuhnya dan mencederakan seorang pejalan kaki.
Tentera Israel dilaporkan berkata, ia telah menjalankan serangan di kawasan itu yang membunuh seorang ahli Hizbullah, mengenal pastinya sebagai Ibrahim Muhammad Raslan, seorang pegawai penyelenggaraan dalam kumpulan itu. Ia berkata Raslan telah berusaha untuk mewujudkan semula tapak infrastruktur tentera Hizbullah yang “menimbulkan ancaman kepada Israel dan orang awamnya, dan melanggar persefahaman antara Israel dan Lubnan”.











