Dua anggota kumpulan Hizbullah Lubnan terbunuh dan tujuh orang lagi cedera pada petang Isnin dalam dua serangan udara Israel berasingan di selatan Lubnan, menurut sumber rasmi dan keselamatan, Xinhua melaporkan.
Menurut Xinhua, Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan sebuah dron Israel melancarkan tiga peluru berpandu, menyasarkan sebuah kereta di pekan Al-Doueir. Serangan itu mengakibatkan seorang maut dan tujuh orang cedera.
Menurut NNA, lapor Xinhua, satu lagi dron musuh melakukan serangan ke atas sebuah motosikal di kawasan kejiranan Abu Laban di kampung Aita al-Shaab.
Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan Awam dilaporkan berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan Israel ke atas Aita al-Shaab telah membunuh seorang warganegara.
Sumber dalam Perisikan Tentera Lubnan memberitahu Xinhua bahawa “orang yang terbunuh dalam serangan Al-Doueir ialah seorang anggota Hizbullah bernama Mohammad Hadid, dan orang yang terbunuh dalam serangan Aita al-Shaab juga merupakan seorang anggota Hizbullah bernama Youssef Naameh Srour”.
Sejak 27 November 2024, perjanjian gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel, yang diusahakan oleh Amerika Syarikat dan Perancis, telah berkuat kuasa, sebahagian besarnya menamatkan pertempuran yang meletus selepas perang di Jalur Gaza.
Walaupun terdapat perjanjian itu, tentera Israel kadangkala melakukan serangan di Lubnan, mendakwa ia bertujuan untuk menghapuskan “ancaman” Hizbullah, sambil mengekalkan pasukan di lima kedudukan utama di sepanjang sempadan Lubnan.











