Tiga orang terbunuh dan lapan lagi cedera pada Khamis dalam satu letupan di bandar Taiz, kira-kira 256 km barat daya ibu kota Yaman, Sanaa, lapor Xinhua memetik sumber perubatan dan tempatan.
Menurut Xinhua, sumber perubatan memberitahu bahawa tiga mayat, termasuk seorang kanak-kanak, telah dibawa ke Hospital Besar Al-Thawra, susulan satu letupan di pusat bandar.
Lapan yang lain, termasuk dua kanak-kanak, telah dikejarkan ke hospital, dengan beberapa daripada mereka berada dalam keadaan kritikal, menurut sumber itu.
Menurut Xinhua, seorang pegawai tempatan yang enggan namanya disiarkan berkata letupan itu disebabkan oleh alat letupan buatan sendiri yang meletup di hadapan ibu pejabat Parti Jemaah Reformasi Yaman di tengah Taiz.
Menurut pegawai itu, seorang penunggang motosikal yang membawa bungkusan berisi alat letupan itu menghampiri ibu pejabat itu sebelum ia meletup.
Bandar Taiz berada di bawah kawalan kerajaan, manakala tentera Houthi telah ditempatkan di pinggir barat, utara dan timurnya, serta di kawasan luar bandar wilayah itu, selama lebih sedekad.











