Tiga orang terbunuh dalam serangan bersenjata lewat Rabu di dalam sebuah kompleks kediaman persendirian di Pulau Mocoli di wilayah pesisir pantai Guayas, Ecuador, kata Menteri Dalam Negeri John Reimberg pada Khamis, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, media tempatan melaporkan lelaki bersenjata terbabit secara ganas memasuki gelanggang sukan Kelab Golf Mocoli. Penyerang, yang tiba dengan pelbagai kenderaan, memakai pakaian menyerupai pakaian seragam polis atau tentera dan bersenjatakan pistol dan raifal.
Reimberg memberitahu televisyen Ecuavisa bahawa siasatan awal menunjukkan mangsa adalah tetamu ke kompleks itu. Ketiga-tiga mereka mempunyai rekod jenayah untuk kesalahan termasuk pengedaran dadah antarabangsa, pembunuhan dan rompakan.
Salah seorang yang maut dikenal pasti sebagai Stalin Rolando Olivero Vargas, yang dikenali sebagai “Marino,” seorang ketua kumpulan jenayah Los Lagartos dan dianggap sebagai “sasaran bernilai tinggi” oleh polis.
Los Lagartos telah dikaitkan dengan pengedaran dadah, pembunuhan kontrak, pemerasan, rompakan dan penculikan.
Serangan baru ini adalah sebahagian daripada lonjakan insiden keganasan yang telah menjejaskan kestabilan wilayah Guayas dalam beberapa bulan kebelakangan ini, didorong oleh peningkatan jenayah terancang.











