Empat orang terbunuh dan tiga lagi cedera pada malam Sabtu dalam serangan udara Israel di perkampungan Kfar Roummane di selatan Lubnan, berita Xinhua memetik laporan Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam negara itu.
Menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA), lapor Xinhua, sebuah dron Israel melancarkan serangan udara sekitar jam 10:20 malam waktu tempatan (2020 GMT) pada Sabtu, menyasarkan kenderaan pacuan empat roda dengan peluru berpandu di jalan Doha-Kfar Roummane, di pinggir timur perkampungan itu.
Pasukan ambulans dilaporkan bergegas ke tempat kejadian.
Sumber keselamatan dilaporkan memberitahu Xinhua, empat mangsa itu adalah ahli Hizbullah, tanpa memberikan butiran lanjut.
Sejak 27 November 2024, perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat dan Perancis antara Hizbullah dan Israel telah berkuat kuasa, menamatkan pertempuran rentas sempadan selama berbulan-bulan yang meletus selepas perang di Jalur Gaza.
Walaupun terdapat perjanjian itu, tentera Israel berterusan melancarkan serangan di Lubnan, dengan mengatakan mereka menyasarkan “ancaman” Hizbullah, sambil mengekalkan pasukan di lima kedudukan utama di sepanjang sempadan Lubnan.











