Empat rakyat Palestin terbunuh dan tiga lagi cedera pada Khamis dalam dua serangan udara Israel berasingan di Khan Younis, selatan Gaza, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.
Mahmoud Bassal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, dilapor berkata pasukan penyelamat menemui mayat tiga orang dan memindahkan tiga individu yang cedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal, selepas serangan udara melanda khemah milik keluarga al-Abadla di kawasan Mawasi.
Saksi mata dilapor berkata, sebuah dron Israel melepaskan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke arah khemah terbabit.
Dalam satu lagi serangan, Xinhua memetik sumber perubatan Palestin, melaporkan seorang lelaki Palestin berusia 39 tahun terbunuh apabila sebuah dron Israel menyasarkan kawasan Sheikh Nasser dekat Garisan Kuning di Khan Younis.
Menurut berita Xinhua, pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata hospital menerima empat mayat dan tujuh yang cedera dalam 48 jam lalu. Menurut mereka, sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lalu, serangan Israel telah membunuh 425 orang dan mencederakan 1,206 yang lain. Sejak Oktober 2023, jumlah kematian di Gaza dilapor mencecah 71,395 orang, dengan 171,287 cedera.











