Sekurang-kurangnya empat suspek ahli geng jenayah terbunuh pada malam Ahad dalam kejadian tembak-menembak dengan polis di Florianopolis, ibu kota dan destinasi pelancongan popular di negeri Santa Catarina, selatan Brazil, Xinhua memetik laporan media tempatan pada Isnin.
Menurut laporan daripada Polis Tentera Santa Catarina, pertempuran senjata api itu mengakibatkan kematian ketua “First Capital Command” sebuah geng yang mengawal pengedaran dadah di daerah Papaquara di utara Florianopolis.
Pegawai polis menerima maklumat risikan yang menunjukkan ketua geng itu, yang dianggap sebagai salah seorang penjenayah paling berbahaya di rantau itu, sedang bersembunyi di sebuah rumah di kawasan kejiranan Ponta das Canas.
Sebaik sahaja memasuki kediaman itu, pegawai bertemu dengan empat lelaki bersenjata lengkap.
Konfrontasi itu memuncak apabila seorang suspek didakwa cuba merampas senapang seorang pegawai.
“Berdepan dengan ancaman yang bakal berlaku dan kuasa tembakan penjenayah yang lebih tinggi, polis bertindak balas untuk meneutralkan serangan itu,” Polis Tentera Santa Catarina dilaporkan sebagai berkata di media sosial.
Lima senjata api dilaporkan telah dirampas di tempat kejadian, termasuk sebuah mesingan ringan yang dikaitkan dengan rompakan baru-baru ini di sebuah stesen minyak di Cacupe, utara Florianopolis.











