
Menurut pernyataan dalam Tanbihul Ghafilin, yang paling utama ialah orang yang mempunyai lima sifat:
1. Tekun beribadat kepada Tuhan.
2. Sangat berguna terhadap sesama manusia.
3. Semua orang berasa aman daripada gangguannya.
4. Tidak iri hati (dengki) terhadap hal orang lain.
5. Selalu bersiap (bersedia) untuk menghadapi maut (dengan amalan yang baik).
Lima sikap itu sangat terpuji dan perlu diutamakan bagi orang muslim, terutama mereka yang yakin dengan Allah, syurga, neraka, dosa dan pahala – bukan mengucapkan semua itu sekadar lunak di bibir mulut.
Namun tak mudah untuk menjadi orang yang tekun beribadat, kerana ada-ada saja gangguan dan godaan. Ia memerlukan usaha, latihan, tekad dan kesungguhan.
Begitu juga dalam dunia mutakhir ini yang berpaksi kepada mengejar material, tak mudah untuk jumpa orang berguna dan memudahkan sesama manusia – banyak kes menyusahkan dan merugikan sesama manusia, bahkan sengaja dibuat ruang yang menyusahkan, kerana di situ dilihat ada ruang menjana wang, misalnya – boleh diperhatikan dalam pelbagai bidang.
Manusia aman daripada gangguan orang muslim – tiada kekasaran, tiada keganasan, tiada penipuan dan manipulasi, malah tiada ancaman, sebagaimana dipamerkan oleh pemimpin bukan muslim di pentas antarabangsa.
Orang Islam juga tidak dengki kepada orang lain. Tapi ada orang berasa tak sedap duduk apabila melihat kawannya dinaikkan pangkat dan pendapatan lebih tinggi daripadanya, padahal kawan yang didengkinya itu lebih lama berkhidmat daripadanya yang baru beberapa tahun di tempat itu, contoh.
Selalu bersiap untuk menghadapi maut – ini sikap yang lagi payah hendak jumpa. Umumnya manusia takut apabila sebut maut dan jika boleh, jangan disebut. Sebab masing-masing mahu hidup lebih lama lagi, belum habis keseronokan dunia, belum capai cita-cita dan keinginan, misalnya.


















