
Ada yang mengatakan: Ubat hati adalah lima perkara:
Bergaul atau berkumpul dengan orang soleh.
Suka membaca dan memerhatikan al-Quran.
Membersihkan perut daripada makanan haram.
Suka solat malam.
Zikir dan berdoa kepada Allah ketika Subuh.
Bercampul gaul atau menyertai perkumpulan orang baik-baik (orang soleh) secara tidak langsung dapat mendidik hati kita, membawa kita berkelana dan meninjau warna-warni budi baik yang tersimpan di gedung jiwa orang soleh, seperti amalan memberi salam, tertib dan sopan, beradab apabila bercakap, bersih dan menghargai sesama manusia. Ia secara tidak langsung mengajar diri kita untuk meniru watak-watak yang terpuji seperti itu.
Membaca al-Quran tidak hanya membuahkan pahala, bahkan mendekatkan diri kita kepada Allah, menjaga hati daripada jauh dengan-Nya, dan apabila kita memerhatikan perkataan al-Quran akan membuatkan kita bertambah keyakinan mengenai hakikat hidup mati makhluk ciptaan-Nya, dan betapa agungnya Allah yang mencipta kita dan seluruh alam ini.
Kemudian, membersihkan perut daripada yang haram iaitu tidak makan yang haram terutama daripada hasil usaha yang haram seperti hasil yang dirompak, dicuri, hasil rasuah atau segala macam lagi melalui cara tidak betul. Sebab itu, mereka yang tidak cakna mengenai hal ini, hati mereka tidak tenteram, walaupun mereka mendakwa tenang kerana sudah dibius dengan rasa seronok harta benda diperolehi.
Seterusnya solat malam, zikir dan doa boleh mententeramkan jiwa, yang tidak ramai orang melakukannya kerana tidak mudah untuk berjaga malam atau bangun awal fajar, semata-mata untuk beribadat kepada Pencipta, lagi pun ia berlawanan dengan nafsu diri yang suka kepada keselesaan dan bermalas-malasan.


















