6 dilaporkan terbunuh dalam tembakan lelaki bersenjata di Baitulmaqdis

Enam orang dilaporkan maut dalam tembakan lelaki bersenjata di perhentian bas pinggir Baitulmaqdis pada Isnin dalam apa yang disifatkan polis sebagai “serangan pengganas”, salah satu yang paling maut di bandar itu dalam beberapa tahun lalu.

Menurut laporan Reuters, rakaman dari kamera papan pemuka di tempat kejadian di Ramot Junction menunjukkan orang ramai melarikan diri dari sekitar sebuah bas di tepi jalan ketika tembakan kedengaran.

Sementara menurut laporan AP – seorang askar Israel dan orang awam yang berada di tempat kejadian menembak dan membunuh kedua-dua penyerang itu, kata polis, yang kemudiannya menahan orang ketiga berkaitan tembakan itu.

“Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan bermula… saya rasa seperti berlari untuk selama-lamanya,” Ester Lugasi, yang cedera dalam serangan itu, memberitahu TV Israel dari hospital, menurut Reuters.

“Saya fikir saya akan mati.”

Menurut AP, tembakan pada Isnin yang berlaku pada pagi yang sibuk – di persimpangan utama, dengan jalan menuju ke penempatan Yahudi di timur Baitulmaqdis – adalah yang paling maut di Israel sejak Oktober 2024.

Perkhidmatan ambulans dilaporkan Reuters, mengenal pasti kelima-lima mangsa sebagai seorang lelaki berusia 50 tahun, seorang wanita dalam lingkungan 50-an dan tiga lelaki dalam lingkungan 30-an. Ia dilaporkan berkata enam yang lain berada dalam keadaan serius dengan kesan tembakan. Polis dilaporkan berkata, lebih 20 orang cedera.

Menurut Reuters, Menteri Luar Israel Gideon Saar berkata, kemudian orang keenam mati dan lelaki-lelaki bersenjata itu adalah warga Palestin dari Tebing Barat yang diduduki Israel.

Menurut Reuters, kementerian luar Sepanyol berkata seorang warga Sepanyol adalah antara yang terbunuh dan mengutuk serangan itu. Perancis, EU dan Emiriah Arab Bersatu juga mengeluarkan kenyataan kutukan.

Hamas menurut Reuters, memuji dua “pejuang penentang” Palestin yang dikatakan melakukan serangan itu dan Jihad Islam, satu lagi kumpulan militan Palestin, turut memuji penembakan itu. Kedua-dua kumpulan dilaporkan tidak mengaku bertanggungjawab.

Kemudian pada Isnin juga, menurut laporan AP, Kementerian Kesihatan Palestin berkata dua warga Palestin berusia 14 tahun ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel di bandar Jenin, Tebing Barat, di mana Israel telah melakukan beberapa operasi ketenteraan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.