
Menurut buku Tanbihul Ghafilin, Abu Laits as-Samarqandi menegaskan, berhati-hatilah anda daripada gelak tawa, kerana mengandungi lapan bahaya:
1. Dicela oleh ulama serta orang yang sopan dan sempurna akal.
2. Memberanikan orang bodoh (orang jahil) kepada anda.
3. Jika anda bodoh (jahil) nescaya bertambah kebodohan (kejahilan) anda dan anda alim berkurang ilmu anda, sebab ada riwayat – seorang alim jika bergelak tawa bererti telah memuntahkan ilmu.
4. Melupakan dosa lampau.
5. Memberanikan berbuat dosa di masa mendatang, sebab apabila bergelak tawa, hati anda membeku.
6. Melupakan mati dan akhirat.
7. Anda menanggung dosa orang yang bergelak tawa kerana gelak tawa anda.
8. Ketawa gelak-gelak menyebabkan banyak menangis di akhirat.
Peringatan itu wajar diambil perhatian, kerana dalam menghadapi senario hari ini, tak sedikit mereka yang ketawa disusuli dengan duka. Banyak contoh boleh dibuat perbandingan, sama ada di sekeliling kita atau kita sendiri.
Lebih buruk apabila ketawa yang dibuat-buat semata-mata untuk mempersendakan atau merendahkan orang lain, kawan ataupun orang tak dikenali.
Bukan tidak boleh ketawa, kerana ia karakter semulajadi manusia, bahkan ia mujarab bagi menghilangkan rasa hati yang resah, tetapi biar bertempat, jaga-jaga dan ingat-ingat, agar tidak berlebihan.


















