Ribut Tropika Fengshen melanda utara dan tengah Filipina pada Ahad, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang terkorban dan memaksa lebih 22,000 orang berpindah dari perkampungan yang sering dilanda banjir dan tanah runtuh, berita Anadolu memetik laporan media tempatan.
Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dan dua lagi hilang ketika pihak berkuasa mengenakan keadaan darurat di beberapa bandar, menggantung penerbangan dan sekolah, menurut Anadolu memetik laporan Agensi Berita Filipina yang dikendalikan kerajaan.
Fengshen dijejaki di Teluk Manila pada tengah hari, dengan angin berterusan sehingga 65 kilometer sejam (40 mph).
Ribut tropika itu, yang dikenali secara tempatan sebagai “Ramil” dijangka keluar dari Filipina pada pagi Isnin.
Jurucakap Pejabat Pertahanan Awam Junie Castillo memberitahu pemberita lima orang maut dihempap pokok tumbang di perbandaran Pitogo di wilayah Quezon, tenggara Manila, dan tiga lagi terbunuh di wilayah Visayas Barat, tengah Filipina.
Castillo dilaporkan berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk dua orang yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh yang melanda perbandaran Quezon di wilayah selatan Bukidnon.
Menurutnya, Fengshen telah menjejaskan 15,000 keluarga, atau kira-kira 30,000 orang, di seluruh negara. Dua puluh dua ribu orang telah dipindahkan, tambahnya.
Ribut itu turut menyebabkan banjir dan tanah runtuh di tengah dan selatan Filipina.
Filipina terdedah kepada ribut tropika, dengan purata 20 taufan melanda setiap tahun.