Dua belas orang terbunuh dan sejumlah yang lain cedera pada pagi Jumaat apabila sebuah dandang meletup di sebuah kilang kimia di kawasan kediaman di wilayah Punjab timur Pakistan, kata sumber polis, menurut berita Xinhua.
Letupan berlaku kira-kira 5:30 pagi waktu tempatan (0030 GMT) di bandar industri Faisalabad, mencetuskan kebakaran besar yang merebak dengan pantas di kemudahan itu, sumber polis dilapor memberitahu Xinhua.
Anggota bomba dilaporkan berusaha mengawal kebakaran bagi mengelak ia daripada sampai ke rumah berhampiran.
Kesan letupan itu menyebabkan dinding dan bumbung beberapa rumah bersebelahan runtuh, dan kebanyakan yang terbunuh serta cedera adalah penghuni rumah terbabit, menurut polis, lapor Xinhua.
Mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan, di mana beberapa daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Menurut Xinhua, operasi menyelamat sedang dijalankan, dan jumlah korban dikhuatiri meningkat kerana berbilang orang dipercayai terperangkap di dalam kilang itu.











