Sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh pada Sabtu dalam siri serangan udara Israel yang melanda rumah dan sebuah kenderaan di beberapa kawasan di Jalur Gaza, dalam pelanggaran baharu gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt lalu, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal berkata dalam satu kenyataan video bahawa wanita, kanak-kanak dan orang tua adalah antara mangsa dalam serangan yang memusnahkan keseluruhan bangunan itu.
Dia dilapor berkata, lima orang terbunuh dan yang lain cedera selepas serangan dron Israel menyasarkan kenderaan awam dekat Persimpangan Abbas di barat Bandar Gaza.
Di bandar yang sama, empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh apabila serangan Israel melanda sebuah rumah di Jalan al-Labbidi.
Di tengah Jalur Gaza, Bassal dilapor berkata, dua rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera apabila serangan Israel menyasarkan sebuah rumah dekat Masjid Bilal bin Rabah di barat Deir al-Balah.
Di kem pelarian Nuseirat, tiga rakyat Palestin dilaporkan terbunuh apabila serangan Israel melanda sebuah rumah di sebelah Hospital Al-Awda.
Juga, di Nuseirat, tujuh rakyat Palestin dilapor terbunuh selepas serangan Israel melanda sebuah rumah di Kem 2.
Menurut Anadolu, Bassal tidak memperincikan di mana kematian tambahan berlaku.
Tentera Israel turut menembak dan mencederakan tiga rakyat Palestin dekat kem al-Bureij di tengah Gaza dan Jabalia di utara, Anadolu memetik pegawai perubatan.
Menurut Anadolu, tentera Israel mendakwa dalam satu kenyataan bahawa tenteranya telah “menghapuskan” seorang lelaki bersenjata selepas dia didakwa melintas garisan kuning.
Pada fajar, tentera Israel dilaporkan melakukan serangan ke atas kawasan timur al-Bureij dan Deir al-Balah, serta timur Rafah dan Khan Younis di selatan, selain bahagian kawasan kejiranan Tuffah dan Shujaiya di timur Kota Gaza.











