Tentera Israel pada Sabtu melancarkan serangan udara terhadap militan Hamas di Gaza dalam ujian gencatan senjata terbaharu, dengan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata lima anggota kanan Hamas terbunuh, menurut laporan AP.
Menurut AP, pegawai kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 54 lagi cedera, termasuk kanak-kanak.
Serangan Israel berlaku ketika momentum antarabangsa semakin meningkat di Gaza, dengan Majlis Keselamatan PBB pada Isnin meluluskan pelan tindakan AS untuk mengamankan dan mentadbir wilayah itu.
Ia memberi kuasa kepada pasukan penstabilan antarabangsa untuk menyediakan keselamatan, meluluskan pihak berkuasa peralihan untuk diawasi oleh Presiden Donald Trump dan membayangkan kemungkinan laluan masa depan untuk sebuah negara Palestin yang merdeka.
Israel sebelum ini melakukan gelombang serangan yang sama selepas melaporkan serangan ke atas tenteranya semasa gencatan senjata.
Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 12 jam pada Rabu dan Khamis, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, AP memetik pegawai kesihatan.
Satu daripada serangan pada Sabtu menyasarkan sebuah kenderaan, membunuh 11 dan mencederakan lebih 20 rakyat Palestin di kejiranan Rimal di Kota Gaza, kata Rami Mhanna, pengarah urusan Hospital Shifa, di mana mangsa dibawa, lapor AP.
Majoriti yang cedera adalah kanak-kanak, pengarah Mohamed Abu Selmiya dilapor berkata.
Serangan menyasarkan sebuah rumah dekat Hospital Al-Awda di tengah Gaza membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan 11 yang lain, menurut hospital itu.
Ia dilapor berkata, serangan ke atas sebuah rumah di kem Nuseirat di tengah Gaza membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak dan mencederakan 16 yang lain.
Satu lagi serangan, menyasarkan sebuah rumah di Deir al-Balah di tengah Gaza, membunuh tiga orang, termasuk seorang wanita, menurut Hospital Al-Aqsa.
“Tiba-tiba, saya mendengar letupan kuat. Saya melihat ke luar dan melihat asap meliputi seluruh kawasan. Saya tidak dapat melihat apa-apa. Saya menutup telinga saya dan mula menjerit kepada yang lain di dalam khemah untuk berlari,” kata Khalil Abu Hatab di Deir al-Balah, lapor AP.
“Apabila saya melihat semula, saya menyedari tingkat atas rumah jiran saya telah tiada.”
Dia menambah: “Ia adalah gencatan senjata yang rapuh. Ini bukan kehidupan yang boleh kita jalani. Tidak ada tempat yang selamat.”
Menurut AP, tentera Israel dalam satu kenyataan berkata ia melancarkan serangan terhadap Hamas selepas seorang “pengganas bersenjata” menyeberang ke kawasan yang dikuasai Israel dan menembak tentera di selatan Gaza.
Ia dilapor berkata, tiada askar cedera.
Tentera dilapor berkata, orang itu telah menggunakan jalan di mana bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu, dan menyebutnya sebagai “pelanggaran melampau” gencatan senjata.
Dalam kenyataan berasingan, tentera dilapor berkata, askar membunuh lima “pengganas” di kawasan Rafah, dan dua lagi selepas menembak empat orang yang menyeberang ke kawasan yang dikuasai Israel di utara Gaza dan mara ke arah tentera dalam dua insiden berasingan.
Satu kenyataan oleh anggota kanan biro politik Hamas, Izzat al-Rishq, menuduh Israel “membuat dalih untuk mengelak perjanjian (gencatan senjata) dan kembali kepada perang pemusnahan” dan berkata Hamas telah menggesa AS dan pengantara lain untuk memaksa Israel melaksanakan perjanjian itu.











