29 orang terbunuh selepas banjir dan tanah runtuh melanda beberapa daerah dan bandar di seluruh wilayah Sumatera Utara Indonesia, kata seorang pegawai tempatan pada Khamis, menurut laporan Xinhua.
Sri Wahyuni Pancasilawati, ketua pengendalian kecemasan, peralatan, dan logistik di Agensi Pengurusan dan Mitigasi Bencana wilayah, dilapor berkata bencana itu turut menyebabkan 67 orang cedera dan sembilan lagi hilang.
“Jumlah mangsa adalah 29 orang, dengan sembilan yang lain hilang. Angka mungkin meningkat kerana penilaian risiko masih dijalankan,” dia dilapor berkata kepada Xinhua melalui telefon.
Bencana itu memusnahkan lebih 400 rumah, beberapa jambatan, dan pelbagai kemudahan infrastruktur awam. Lebih 7,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berteduh, menurutnya.
Darurat telah diisytiharkan di Kabupaten Mandailing Natal, Tapanuli Selatan, dan Tapanuli Utara, tambahnya.











