Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengeluarkan ramalan potensi hujan pada Isnin di kebanyakan negara ketika angka kematian meningkat di Sumatera akibat banjir dan tanah runtuh yang teruk, lapor Anadolu.
Ramalan itu dikeluarkan selepas BMKG merekodkan peningkatan hujan di pelbagai wilayah dan berkata beberapa bandar berisiko mengalami cuaca ekstrem, Anadolu memetik laporan Kompas TV.
Pada Ahad, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan negara itu berkata jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang berterusan di Sumatera meningkat kepada 442 dengan 402 masih hilang, lapor Anadolu.
Agensi itu dilapor berkata, pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mereka untuk hari keenam di kawasan terjejas untuk mengesan mereka yang masih hilang.
Data juga menunjukkan 646 orang cedera manakala 1.1 juta terjejas, ratusan rumah rosak dan lebih 290,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir, menurut Anadolu.
Banyak kawasan yang terjejas dilaporkan masih tidak dapat dicapai, dan pasukan mencari bekerja di darat dan dari udara, tetapi rupa bumi yang mencabar mengehadkan penggunaan jentera berat.











