Ribut teruk dan sistem tekanan rendah yang melanda Jalur Gaza dalam tempoh 24 jam lalu menyebabkan sembilan orang maut dan beberapa orang lagi cedera, susulan runtuhan beberapa bangunan dan banjir meluas di pelbagai kawasan di wilayah itu, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA).
Menurut WAFA, sumber tempatan melaporkan lima orang terbunuh dan yang lain cedera selepas sebuah rumah yang menempatkan keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal runtuh di kawasan Beir al-Naaja di Beit Lahiya, utara Gaza.
Dua orang lagi dilaporkan maut selepas tembok besar tumbang menimpa khemah yang menempatkan keluarga kehilangan tempat tinggal di kawasan kejiranan Al-Rimal di barat bandar Gaza awal hari ini.
Seorang lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh semalam apabila sebuah tembok runtuh di kem pelarian Shati.
Sementara itu, dua kanak-kanak cedera selepas khemah mereka runtuh di kawasan Al-Amadi, menurut WAFA, manakala suhu beku menyebabkan kematian seorang bayi di dalam khemah orang yang kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Mawasi di Khan Younis, semalam.
Menurut WAFA, pasukan pertahanan awam melaporkan, sekurang-kurangnya sepuluh buah rumah telah runtuh dalam beberapa jam lalu, termasuk dua di kawasan kejiranan Al-Karama dan Sheikh Radwan.
Sistem tekanan rendah itu juga menyebabkan kem di kawasan Al-Mawasi di Khan Younis banjir dan kerosakan di kawasan besar di Al-Basa dan Al-Baraka di Deir al-Balah, pasar pusat di Al-Nuseirat, serta kawasan Yarmouk dan Al-Mina di bandar Gaza, lapor agensi berita itu.











