Jumlah kematian di Bolivia akibat banjir yang dicetuskan oleh limpahan sungai di wilayah timur Santa Cruz meningkat kepada 20 dan dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat sampai ke kawasan yang sebelum ini tidak dapat diakses, kata Timbalan Menteri Pertahanan Awam Alfredo Troche pada Isnin, lapor Reuters.
Pihak berkuasa dilapor berkata sekurang-kurangnya dua dozen orang masih hilang dan beratus-ratus keluarga telah ditinggalkan tanpa tempat perlindungan selepas hujan lebat selama beberapa hari.
“Malangnya kami mempunyai 16 lagi mayat yang disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 20. Dan kami mempunyai dua dozen yang hilang,” kata Troche kepada penyiar Bolivia TV, menurut Reuters.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 300 orang telah diselamatkan dengan helikopter dan kira-kira 2,100 keluarga setakat ini terjejas di sekitar Sungai Pirai.
Hujan lebat bermula awal pagi Sabtu, menurut Reuters memetik Perkhidmatan Meteorologi dan Hidrologi Nasional.











