Daripada Anas RA, dia berkata: Nabi SAW tidak pernah makan di atas meja sehingga baginda wafat. Dan tidaklah makan roti yang dihaluskan sampai baginda wafat. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari. Ada juga dalam riwayat Ahmad)
Dalam riwayat Imam al-Bukhari yang lain disebutkan: Baginda tidak pernah melihat kambing yang dihilangkan bulu-bulunya, lalu dibakar dengan mata kepalanya sama sekali.
HURAIAN
Khiwaan (kha-wau-alif-nun) dalam hadis di atas diterjemahkan sebagai tempat untuk menaruh (meletak) makanan di atasnya sehingga orang yang makan tanpa menundukkan kepalanya. Tempat ini termasuk bidaah yang diperbolehkan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.
Khubz muraqqaq (kha-ba-zai / mim-ra-qaf-qaf) diterjemah sebagai roti yang lebar dan halus. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.
Samith (sin-mim-ya-tho) diterjemahkan sebagai haiwan yang dihilangkan bulu-bulunya, lalu dibakar dengan kulitnya. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.
Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 367/368.
Daripada Sa’id al-Maqburi, daripada Abu Hurairah RA, bahawa dia pernah berjalan melalui suatu kaum yang di hadapan mereka ada seekor kambing sedang dipangggang. Maka, mereka mengajaknya, namun dia (Abu Hurairah) enggan untuk (turut) makan. Dan dia (Abu Hurairah) berkata: Rasulullah SAW keluar (meninggalkan) daripada dunia dan baginda tidak kenyang daripada roti gandum. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
HURAIAN
Masliyyah (mim-sod-lam-ya-ta) dalam hadis itu diterjemahkan sebagai dipanggang – Riyadus Solihin & Penjelasannya.
Hadis ini menunjukkan antara perilaku orang mencintai seseorang adalah mengikuti jejak orang yang dicintainya dan meneladaninya.
Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 367.
Daripada Aisyah RAnha, dia berkata: Tidaklah kenyang keluarga Muhammad SAW daripada roti gandum dua hari berturut-turut, sampai baginda wafat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)
HURAIAN
Hadis ini menggambarkan berpalingnya Nabi SAW dari dunia dan bersikap zuhud terhadap dunia.
Di dalamnya mengandungi anjuran kepada umat baginda agar bersikap zuhud terhadap dunia dan berpaling daripada apa yang melebihi daripada keperluannya terhadap dunia.
Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 366.











