Jet pejuang F-16 tentera Thailand terus menjalankan serangan udara terhadap Kemboja, terutama yang menyasarkan wilayah Preah Vihear, petang ini, lapor Agence Kampuchea Presse (AKP) memetik Kementerian Pertahanan negara itu.
Kementerian itu dilapor berkata, pada jam 3:30 petang, tentera Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 untuk mengebom kawasan Peak Sbaek di wilayah Preah Vihear.
Tentera Thailand telah berulang kali mendakwa melalui saluran media mereka bahawa sasaran mereka hanya pangkalan tentera, lapor AKP, namun pada hakikatnya, kebanyakan serangan telah melanda infrastruktur awam dan kawasan kediaman.
Neth Pheaktra, Menteri Penerangan Kemboja, menyatakan bahawa walaupun tentera Thailand menegaskan operasi pengeboman mereka hanya ditujukan kepada kedudukan tentera, sasaran sebenar termasuk rumah, sekolah dan infrastruktur awam yang lain, lapor AKP.
Menurut AKP, semalam, jet pejuang F-16 Thailand mengebom bandar Poipet dan Serei Sophorn di wilayah Banteay Meanchey – kedua-duanya kawasan awam padat penduduk.











