Seorang jeneral kanan Rusia terbunuh dalam letupan kereta di Moscow pada Isnin, lapor Anadolu memetik Jawatankuasa Siasatan negara itu.
Jawatankuasa itu dilapor berkata dalam satu kenyataan di Telegram bahawa Leftenan Jeneral Fanil Sarvarov, ketua Jabatan Latihan Operasi Staf Jeneral Rusia, meninggal dunia akibat kecederaan yang disebabkan oleh letupan itu.
“Menurut penyiasat, pada pagi 22 Disember, satu alat letupan yang ditanam di bawah bahagian bawah sebuah kereta telah meletup di Jalan Yasenevaya di Moscow,” kata kenyataan itu.
Ia menyatakan siasatan sedang dijalankan susulan pembukaan kes jenayah di Moscow.
“Penyiasat sedang menjalankan pelbagai teori mengenai pembunuhan itu. Salah satunya ialah jenayah itu dirancang oleh perkhidmatan perisikan Ukraine,” tambahnya.
Menurut Anadolu, pihak berkuasa Ukraine masih belum mengulas mengenai dakwaan itu.
Pada April, seorang pegawai kanan tentera, Leftenan Jeneral Yaroslav Moskalik, terbunuh dalam letupan kereta di wilayah Moscow, yang Rusia persalahkan pada Perkhidmatan Keselamatan Ukraine. Kyiv tidak mengesahkan atau menafikan sebarang penglibatan, menurut Anadolu.
Pada Disember tahun lalu, Leftenan Jeneral Igor Kirillov, ketua Pasukan Pertahanan Perlindungan Radiasi, Kimia dan Biologi Rusia, dilaporkan turut terbunuh dalam satu letupan di ibu negara Rusia itu.
Beberapa saluran media Ukraine, termasuk agensi berita kerajaan Ukrinform, memetik sumber, melaporkan bahawa kematian Kirillov berlaku akibat “operasi khas” oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine, lapor Anadolu.











