Empat ahli keluarga mati rentung pada Isnin selepas kebakaran berlaku di rumah mereka yang diperbuat daripada lumpur di negeri Bengal Barat, timur India, lapor Xinhua memetik polis.
Kebakaran itu dilaporkan berlaku di rumah di kampung Sauria di daerah Howrah, kira-kira 71 km barat Kolkata, ibu kota Bengal Barat.
“Awal hari ini, satu panggilan kecemasan mengenai kebakaran di dalam sebuah rumah kediaman telah diterima, dan selepas itu anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian. Empat ahli keluarga ditemui mati rentung di dalam rumah,” seorang pegawai polis dilapor berkata.
Mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 72 tahun, anak lelaki dan menantu perempuannya (kedua-duanya berusia 40-an) dan cucu perempuannya berusia 15 tahun.
Punca kebakaran sedang disiasat.











