
Bersedekah mempunyai banyak kebaikan, sama ada pada diri orang yang menerima sedekah, orang yang memberi sedekah dan masyarakat sekeliling.
Amalan bersedekah memupuk sikap kebersamaan, bantu-membantu, sekali gus memastikan hajat dan keinginan antara kita tercapai, dan membawa kepada hidup yang dirasakan lebih bermakna – ada sinar, ada gembira.
Abu Laits as-Samarqandi pernah menasihatkan, bersedekahlah dengan sesuatu, sedikit atau banyak, kerana sedekah mempunyai sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima di akhirat. Adapun lima di dunia ialah:
- Membersihkan harta kekayaan.
- Membersihkan badan daripada dosa.
- Menolak bala dan penyakit.
- Menyenangkan hati orang miskin, sedang sebaik-baik amal menyenangkan orang Mukmin.
- Menjadikan berkat dalam harta dan luas rezeki.
Lima di akhirat:
- Sedekah menjadi naungan baginya.
- Sedekah akan meringankan hisab perhitungan amalnya.
- Memberatkan timbangan amal kebaikan.
- Memudahkan menyeberang di atas sirat.
- Bertambah darjat di syurga.


















