
Menurut Abu Laits, orang fakir miskin akan mendapat lima kemuliaan:
1. Pahala amalannya lebih daripada pahala amalan orang kaya dalam solat, sedekah dan lain-lain.
2. Jika ingin sesuatu dan tidak tercapai, dicatat baginya pahala.
3. Mereka lebih dahulu masuk syurga.
4. Hisab (hitungan) mereka di akhirat lebih ringan.
5. Penyesalan mereka sangat kurang, sedangkan orang kaya ingin seperti orang fakir di akhirat manakala orang fakir tidak ingin seperti orang kaya.
Begitulah antara kelebihan orang miskin, namun masyarakat sesetengahnya memandang sebelah mata kepada orang miskin, mengapa?
Sebabnya masyarakat itu sudah rosak, lebih cenderung kepada harta, yakni mata zahir mereka lebih tertarik kepada harta, manakala hati melekat dengan harta, berbanding pertimbangan lain yang lebih utama seperti agama dan keelokan budi.
Oleh kerana memandang kepada harta benda, maka berlakulah dengki khianat, pertelingkahan, kezaliman dan jatuh-menjatuh.
Sebenarnya, banyak atau sedikit harta, ataupun tiada langsung, itu adalah adat dunia yang sepatutnya tidak dijadikan sifir dalam menjalani kehidupan bermasyarakat yang lebih berjaya.
Orang berharta tidaklah mulia, jika sifatnya meninggi diri, berlagak, kedekut dan berkira untuk bersedekah bahkan untuk makan dirinya, dan orang miskin pula tiada sedikit pun hina jika berakhlak baik, jujur dan penyantun.


















