Ar-Raqqah, disebut juga Raqqa adalah sebuah bandar lama di Syria. Perjalanan sejarahnya sangat panjang, bermula dari zaman kuno lama dan seterusnya pada zaman Rom menjadi sebahagian daripada wilayah Osrhoene.
Pada 466 Masihi, Maharaja Byzantine Leo I menamakannya Leontopolis, namun lebih dikenali sebagai Kallinikos dan pada 542 Masihi, bandar ini dimusnahkan oleh pemerintah Parsi, Khusrau I, tetapi dibina semula oleh Maharaja Byzantine, Justinian I.
Bandar ini dilaporkan jatuh ke tangan pihak Muslim melalui Iyad ibnu Ghanam pada 639 atau 640 Masihi. Sejak itu, ia digambarkan dalam pelbagai sumber Arab sebagai ar-Raqqah.
Menurut ahli sejarah Parsi kurun ke-9, Ahmad ibnu Yahya al-Baladhuri pada detik penyerahan bandar itu, penduduk Kristian mengikat perjanjian dengan Iyad. Ini memberikan kebebasan kepada mereka untuk mengamalkan agama mereka di gereja sedia ada.
Pertembungan sengit diantara Ali dan Muawiyah dalam Perang Siffin pada 656 Masehi berlaku kira-kira 45 kilometer di barat ar-Raqqah.
Makam beberapa pengikut Ali seperti Ammar ibnu Yasir dan Uwais al-Qarni (dikatakan) terletak di kawasan berkenaan dan menjadi tempat ziarah.
Kepentingan strategik ar-Raqqah meningkat sewaktu peperangan pada akhir tempoh Umaiyah dan permulaan rejim Abbasiyah.
Terletak di persimpangan antara Syria dan Iraq dan jalan antara Damsyik dan Palmyra, menjadikan ar-Raqqah begitu strategik sehingga Khalifah al-Mansur membina sebuah bandar garison kira-kira 200 meter di sebelah barat ar-Raqqah antara 771 dan 772 Masihi.
Pada 796 Masihi, khalifah Harun ar-Rasyid memilih bandar ini sebagai kediaman empayar beliau. Selama 13 tahun ar-Raqqah menjadi ibu kota empayar Abbasiyah yang menjangkau dari Afrika Utara ke Asia Tengah, manakala badan pentadbiran utama kekal di Baghdad.
Ar-Raqqah pernah didakwa sebagai pusat gerakan kumpulan radikal Negara Islam (IS) seperti dilaporkan dalam sumber di Internet, IS ataupun Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) mendakwa kawalan penuh ke atas wilayah ini pada 24 Ogos 2014.