Keutamaan menjenguk orang sakit

1. Berada dalam khurfatul jannah.

    Hadis daripada Tsauban yang marfu’ (daripada Nabi SAW): Sesungguhnya apabila seorang muslim menjenguk orang muslim lain, maka dia berada dalam khurfatul jannah.

    Dalam riwayat lain ditanyakan kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, apakah khurfatul jannah?

    Baginda menjawab: Iaitu taman buah syurga.

    2. Menyelam dalam rahmat.

      Hadis daripada Jabir yang marfu’: Sesiapa menjenguk orang sakit bererti dia menyelam dalam rahmat, sehingga ketika dia duduk bererti dia berhenti di situ (dalam rahmat).

      3. Mendapat pujian malaikat.

        Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa menjenguk orang sakit, maka berserulah penyeru dari langit (malaikat): “Bagus engkau, bagus perjalanan engkau dan engkau telah mempersiapkan tempat tinggal di dalam syurga”.

        4. Mendapat ganjaran di sisi Allah

          Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla akan berfirman pada hari kiamat: Hai anak Adam, Aku sakit, tetapi kamu tidak menjenguk-Ku.

          Orang itu bertanya: Wahai Tuhan, bagaimana aku harus menjenguk-Mu, sedangkan Engkau adalah Tuhan bagi alam semesta.

          Allah menjawab: Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku polan (seseorang) sedang sakit tetapi kamu tidak menjenguknya? Apakah kamu tidak tahu bahawa andai kamu menjenguknya, pasti kamu dapati Aku di sisinya? Hai anak Adam, Aku minta makan kepadamu, tetapi tidak kamu beri Aku makan?

          Orang itu menjawab: Wahai Tuhanku, bagaimana aku memberi makan Engkau, sedangkan Engkau adalah Tuhan bagi alam semesta?

          Allah menjawab: Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku polan (seseorang) meminta makan kepadamu, tetapi tidak kamu beri makan? Apakah kamu tidak tahu bahawa andai kamu beri makan dia nescaya kamu dapati hal itu di sisi-Ku? Wahai anak Adam, Aku minta minum kepadamu tetapi tidak kamu beri minum?

          Orang itu bertanya: Wahai Tuhan, bagaimana aku memberi-Mu minum sedangkan Engkau adalah Tuhan bagi alam semesta?

          Allah menjawab: Hamba-Ku polan (seseorang) meminta minum kepadamu, tetapi tidak kamu beri minum. Apakah kamu tidak tahu bahawa andai kamu memberinya minum nescaya kamu dapati (ganjarannya) itu di sisi-Ku?

          5. Didoakan tujuh puluh ribu malaikat.

            Diriwayatkan daripada Ali RA, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang menjenguk orang muslim lain pada pagi hari kecuali dia didoakan oleh tujuh puluh ribu malaikat hingga petang hari, dan jika dia menjenguknya pada petang hari, maka dia didoakan oleh tujuh puluh ribu malaikat hingga pagi hari, dan baginya kurma yang dipetik di taman syurga. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan beliau berkata hadis hasan [baik])

            Sumber- Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi, 302-303