Siapa orang lebih bodoh?

Kadang-kadang di depan kelihatan bukan main manis lagi senyuman…amboi baik sangat.

Tapi di belakang, lain…air muka pekat, air liur jadi kelat, kelihatan sangat marah.

Selalu jumpa dengan orang sebegitu? Begitulah secebis gambaran mengenai orang yang dengki kepada orang lain…seperti kawan-kawan, adik-beradik, sesama staf atau pekerja bawahan.

Orang dengki pantang lihat orang lain senang, gembira, bergaya, ah…ringkasnya tak boleh lihat atau tahu bahawa orang lain lebih segala-galanya daripada dirinya. Mata tajam, pembuluh darah mengalir laju, fikiran berkecamuk…serba tak kena…ah, ah, tak senang duduk.

Ini terutama masyarakat yang selesa dalam keamanan dan kemakmuran. Bagi masyarakat dikelilingi dan dihujani peluru seperti di Gaza dan di sesetengah tempat di benua Afrika, mereka tak sempat untuk dengki satu sama lain, sebab setiap detik memikirkan keselamatan diri, anak-anak dan keluarga.

Kita, ketika aman, sihat dan selesa, tak habis dengan dengki dan benci. Kadang-kadang tak puas dengan dengki dan benci sendiri, dipengaruhi pula orang lain, orang sekeliling untuk turut sama dengki dan benci kepada orang terbabit. Ah…teruk!!!!

Dalam riwayat Abu Dawud, sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Jauhilah hasad (dengki) kerana hasad memakan kebaikan laksana api memakan kayu bakar atau baginda menyebut rerumputan.”

Menurut Ibnu Athaillah, orang yang sibuk memikirkan nikmat (kesenangan) dunia yang diberikan kepada orang lain adalah orang yang lebih bodoh, sebab dia memikirkan nikmat yang dia tidak milikinya.

Justeru jika tidak ingin dicop bodoh, usah berdengki…buang jauh-jauh sifat dengki khianat, bersihkan hati, sucikan jiwa.