Al-Quran menegaskan, maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian, jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah an-Nisa, ayat 19, Tafsir Pimpinan ar-Rahman)
Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Janganlah seorang mukmin (lelaki beriman) membenci seorang mukminah (wanita beriman) kerana apabila ada suatu budi pekerti perempuan itu yang dia tidak sukai, tentu ada budi pekertinya yang lain yang dia sukai atau daripada budi pekerti selain dibencinya itu.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Kehidupan suami isteri adalah saling melengkapi, seharusnya penuh dengan kasih sayang, kelembutan dan kemaafan. Mereka perlu saling memahami dan bertolak ansur.
Dugaan dalam meniti hari demi hari harus dihadapi dengan rasional, bukan membiarkan diri dibadai gelombang emosional dan lemas di dasarnya.
Ada mata pandang baik-baik, ada mulut cakap elok-elok dan ada akal timbang betul-betul, supaya yang dipandang itu betul, perkataan yang keluar daripada bibir mulut itu betul, dan apa yang difikirkan itu juga betul.
Sebarang kekurangan, dihadapi dan ditangani bersama ke arah memperbaiki, bukan diperbesar-besarkan menjadi semakin rumit atau kusut, sehingga membelit, melingkari dan merebahkan asas binaan rumah tangga.
Kesilapan, kesalahan dan keterlanjuran atau apa juga istilah diberikan merujuk kepada hal itu, ada baiknya dimaafkan demi kebaikan bersama dalam institusi keluarga.
Apa tidaknya, sebab selalunya kesilapan itu bukanlah disengajakan, tetapi disebabkan faktor lain misalnya ‘tidak tahu’ ataupun tersilap faham, silap dengar, terlepas cakap dan seumpamanya – maklumlah terlalu “ramah” atau ringan mulut.
Buang yang keruh, ambil yang jernih dalam merencanakan hidup bersama-sama, melukis potret bahagia bersama-sama seisi keluarga.
Ada diceritakan dalam “Tanbihul Ghafilin”, satu kisah di zaman sahabat nabi. Diceritakan begini (ditulis semula mengikut gaya bahasa mudah faham berdasarkan buku terjemahan itu): Seorang datang kepada Umar al-Khattab untuk mengadu keadaan isterinya.
Tiba di muka pintu Umar, dia mendengar Ummi Kaltsum isteri Umar membantah kepada Umar.
Orang itu berkata: Aku akan mengadu mengenai keberanian isteriku membantah perintahku, (tetapi) Umar juga menghadapi keadaanku (keadaan seperti dialami diriku) ini.
Dia mahu kembali, tiba-tiba dipanggil oleh Umar dan ditanya:
Jawabnya: Saya datang ke mari untuk mengadu mengenai keberanian isteri saya, (tetapi) saya mendengar isteri anda juga seperti isteri saya, maka saya mahu kembali.
Umar berkata: Saya memaafkan padanya kerana beberapa hak yang harus saya tanggung:
– Kerana dia menjadi dinding bagiku dari api neraka, sehingga hatiku tenang dan jauh daripada yang haram.
– Dia menjadi penjaga rumahku jika aku keluar dan penjaga hartaku.
– Dia mencuci pakaianku.
– Dia ibu kepada anak-anakku.
– Dia yang memasak makananku.
Maka, orang itu berkata: Isteri saya juga begitu, maka apa yang anda maafkannya, saya juga akan maafkan isteri saya.
Daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Mukminin (orang-orang beriman) yang paling sempurna keimanannya ialah mereka yang terbaik budi pekertinya dan yang terbaik antara kamu ialah mereka yang terbaik sifatnya terhadap isteri-isterinya.” (Riwayat Tirmidzi)











