Apa ada pada sifat sabar

Sayidina Ali RA berkata: “Jika kamu bersabar, maka takdir akan berjalan atasmu dengan mendapat pahala. Namun, jika tidak bersabar, takdir tetap akan berjalan atasmu dan kamu berdosa.”

Kesabaran adalah sifat yang sangat mulia dalam Islam. Banyak ayat al-Quran yang menekankan mengenainya.

Satu daripadanya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 200)

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sangatlah menakjubkan bagi urusan (hal) seorang Mukmin. Bahawa seluruh urusannya adalah baik baginya dan tiadalah yang demikian itu bagi seseorang melainkan orang Mukmin:

“(Iaitu) apabila dia mendapat kelapangan hidup, lalu dia bersyukur. Maka, hal itu adalah baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesulitan, lalu dia bersabar, maka hal itu pun baik baginya.”

Ubat paling mujarab

Imam al-Ghazali berkata, sifat sabar adalah ubat paling mujarab dan mengandungi banyak manfaat ataupun dengan kata lain, sabar mendatangkan segala manfaat dan menolak mudarat.

Beliau menyenaraikan empat manfaat iaitu:

1. Sabar menjalankan ketaatan.

2. Sabar menahan diri daripada perbuatan maksiat.

3. Bersabar menahan diri daripada godaan dunia.

4. Sabar menghadapi cubaan dan musibah.

Menurutnya, seseorang yang kuat dan mampu bersabar daripada empat perkara ini bererti dia sudah benar-benar taat.

Hubungan dengan solat

Oleh kerana sifat sabar sangat ditekankan dalam ajaran Islam, kita perlulah bersifat dengannya pada setiap waktu dan keadaan. Solat lima waktu sehari semalam misalnya tidak boleh ditinggalkan. Tunaikanlah dengan penuh kesabaran.

Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 45 bermaksud: “Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat…”

Dalam menafsirkan ayat ini, Buya Hamka melalui Tafsir al-Azhar antara lain menyatakan, orang yang berpadu antara sabar dengan solatnya akan jernihlah hatinya dan besar jiwanya.

Jelas beliau, percubaan yang harus kita tempuhi dalam menyeberangi kehidupan ini kadang- kadang sangatlah besar sehingga jiwa harus kuat dan pendirian harus kukuh.

“Sebab itu untuk meminta agar selalu mendapat pertolongan daripada Tuhan agar kita dikuatkan menghadapi kesulitan itu, tidaklah boleh terpisah antara kedua-duanya ini, sabar dan solat iaitu membuatkan hati jadi tabah dan selalu mengerjakan solat.

“Betapa pun sabarnya hati, kadangkala kerana beratnya yang dihadapi, jiwa boleh juga bergoncang.

“Maka, dengan solat khusyuk sekurang- kurangnya lima waktu sehari semalam, hati yang tadinya nyaris lemah nescaya akan kuat kembali. Maka, sabar dan solat itulah alat pengukuh peribadi bagi orang Islam,” katanya.

Kita sememangnya tidak pernah sunyi daripada menghadapi ujian dan masalah. Kadangkala ia datang bertimpa-timpa, umpama anak batu melantun ke kepala atau mencurah-curah bagai hujan membasahi kepala…ataupun lebih teruk lagi hujan peluru. Tak kena cara boleh merajuk, putus asa atau lebih teruk memberikan reaksi tidak sepatutnya seperti berkata kasar, sumpah-seranah, menunjukkan isyarat lucah, mengejek ataupun dengan tindakan di luar batasan sepatutnya.

Bersama sifat sabar yang menebal dalam diri, kita akan dapat menghadapi apa juga cabaran dan rintangan, seterusnya mengecap manis kehidupan atau kejayaan.