
Kehidupan manusia berlegar di antara dua lingkungan. Pertama, lingkungan kebaikan dan keduanya, keburukan. Bagi yang masuk ke dalam kumpulan orang baik, raut wajahnya ceria dan tenang. Dia dikategorikan orang berjaya.
Manusia yang memilih keburukan pula akan dirundung rasa kecewa dan gundah. Keseronokan kalau pun dirasainya adalah bersifat kepalsuan dan sementara saja. Duduknya tidak pernah senang.
Secara sepintas lalu, hidup ini tidaklah sukar, hanya memilih antara baik dan buruk. Malah, berbuat keburukan lebih mudah kerana selari dengan tuntutan hawa nafsu. Syaitan juga sangat suka jika manusia melakukan keburukan.
Barangkali sebab itulah ada saja orang yang suka melakukan keburukan seperti menipu, mencuri dan merompak, menganiaya, membunuh, sama ada secara diam-diam mahupun terang-terangan.
Harus disedari bahawa Tuhan tidak pernah menyuruh hamba-Nya melakukan keburukan. Sebaliknya, Dia menyuruh dan menggalakkan hamba-Nya melakukan kebaikan.
Kebaikan yang digesa dan diseru Allah ialah merangkumi segala amalan soleh. Mentaati Allah adalah kebaikan, beriman kepada-Nya adalah kebaikan dan mengamalkan sifat kemuliaan adalah kebaikan.
Begitu juga keikhlasan niat dan amalan, berbuat kebajikan sesama manusia, kata-kata yang baik, bahkan perbuatan meninggikan taraf hidup individu atau masyarakat adalah kebaikan.
Malah, setiap amalan kebaikan dihulurkan kepada manusia sekalipun kecil adalah diredai oleh Allah. Wajah manis atau senyum ketika bertemu, membuang sesuatu berbahaya di jalanan dan melangkah ke masjid juga disifatkan kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia daripada kejahatannya.
“Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan daripada hartanya dan menahan lebihan daripada kata-katanya.” (Riwayat Tabrani)
Naluri dan tabiat semula jadi manusia yang bersih akan menuju kepada kebaikan. Oleh kerana itu, dalam tamadun manusia kebaikan selalu digambarkan sebagai kesempurnaan dan keindahan. Manusia suka dan tertarik kepadanya.
Setiap kebaikan ada ganjarannya, walaupun kecil. Hal ini sebagaimana dapat difahami melalui firman-Nya dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya.”
Bagaimana menjadi baik?
Menurut ulama, usaha untuk melakukan kebaikan dan melaksanakannya memerlukan kepada latihan dan kebiasaan sehinggalah sebati dan mesra pada jiwa, malah mudah pula untuk melakukannya.
Bahkan melatih dan membiasakan amalan kebaikan sejak kecil lagi adalah asas yang kukuh untuk pembentukan akhlak yang baik.
Islam menyuruh umatnya mendidik anak dengan sifat kemuliaan Islam, melatih dan membiasakannya sejak kecil supaya mereka meningkat remaja dan dewasa dengan bentuk keperibadian Islam.
Bayangkan, kalau kita terbiasa dengan keperibadian buruk dari usia kanak-kanak, sudah tentu sukar untuk berperangai baik apabila remaja dan dewasa. Bukan mudah untuk mengubah tabiat.
Samalah juga kalau kita tidak pernah belajar membaca al-Quran, tiba-tiba apabila dewasa ingin pula mengaji. Tentu sukar untuk menyebut kalimahnya. Namun, usah berputus asa kerana jalan untuk mempelajarinya masih terbuka luas.
Mari kita selami lautan kebaikan. Kita timba khazanahnya bersama. Mudah-mudahan kilauan permatanya membuatkan hidup kita lebih berharga, bahkan disanjungi dan dirahmati-Nya.











