Taufan Peipah mendarat di wilayah Wakayama, barat Jepun, pada pagi Jumaat, dan dijangka membawa hujan lebat ke kawasan luas dengan risiko banjir dan tanah runtuh, lapor Xinhua memetik agensi cuaca.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), taufan itu mendarat di wilayah Kochi di pulau utama Shikoku sekitar jam 1 pagi waktu tempatan pada Jumaat dan kemudian bergerak ke timur di pantai Pasifik, dan mendarat semula di bahagian utara wilayah Wakayama sekitar jam 9 pagi waktu tempatan.
Peipah kini bergerak ke timur di sepanjang pantai Pasifik Jepun dan dijangka sampai ke wilayah Kinki, Tokai, Kanto-Koshin dan Tohoku menjelang petang pada Jumaat.
Dalam tempoh 24 jam hingga pagi Sabtu, sehingga 300 milimeter hujan dijangka di wilayah Kanto-Koshin termasuk Tokyo, dengan 250 milimeter ramalan untuk kawasan Tokai, dan 150 milimeter di rantau Kinki, JMA dipetik sebagai berkata.
Dengan hujan lebat dilihat melanda kawasan yang luas, termasuk timur laut Tohoku hingga wilayah barat Kinki, pegawai cuaca meminta berhati-hati terhadap tanah runtuh, banjir di kawasan rendah dan sungai yang membengkak.











