Lima pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di simpang Pusat Latihan RELA, Jalan Sulaman, di Tuaran, awal petang tadi, lapor BH Online.
Mereka yang dilaporkan ialah Harianto Anuar, 20; Neil Stanly Pletinie, 20; Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20, manakala seorang lagi lelaki masih belum dikenal pasti identitinya.
Menurut BH Online, semua pelajar terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia, akibat parah manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian dilaporkan pada jam kira-kira 2 petang, ketika kereta jenis Toyota Wish dinaiki kelima-lima mangsa dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Kota Belud.
Kenderaan dinaiki mereka dikatakan dirempuh sebuah lori membawa muatan batu kelikir yang datang dari arah bertentangan, selepas Toyota Wish dipercayai terbabas.
Semua mangsa terbabit dilaporkan tersepit dalam kenderaan sejurus kemalangan.
Mereka kemudian dilaporkan dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba yang datang membantu dengan menggunakan peralatan khas.
Menurut BH Online, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin mengesahkan kejadian berkenaan.
“Mayat semua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” dia dipetik berkata.











