Telefon awam di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Kinarut, ditutup 48 jam selepas Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang pada 16 Julai lalu, lapor BH Online.
Perkara berkenaan dimaklumkan pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Linah Mansoding @ Jaliha, 64, yang juga saksi keenam inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Linah dilaporkan memberitahu mahkamah demikian ketika ditanya pihak berkepentingan yang juga peguam mewakili ibu Zara Qairina, Shahlan Jufri, pada sesi soal jawab prosiding yang masuk hari kelima di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, hari ini.
Berikut soal jawab dilaporkan BH Online
Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai 2025, adakah pelajar-pelajar sekolah boleh menghubungi ibu bapa mereka?
Linah: Macam ‘public phone’ (telefon awam) pun sana ada kena tutup selama dua hari dua malam.
Shahlan: ‘Public phone’ di sana ditutup selama dua hari dua malam?
Linah: Sebab budak-budak banyak call (hubungi) ibu bapa diorang (mereka).
Shahlan: Sebelum itu Puan, ada berapa ‘public phone’ di sana?
Linah: Blok A tiga (telefon awam), blok B tiga (telefon awam).
Shahlan: Macam mana ‘public phone’ ditutup?
Linah: Dikasi mati (ditutup) suis.
Shahlan: Siapa tutup suis?
Linah: Ketua warden suruh tutup.
Menurut BH Online, pada awal keterangannya, Linah memberitahu, dia bergegas ke asrama Blok Rabiatul Adawiyah sekolah berkenaan dan melihat seorang pelajar perempuan dikenali dengan nama Zara, terlentang di longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dia memberitahu bertugas syif mulai jam 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi keesokannya.
Katanya, rondaan di Blok Rabiatul Adawiyah pada jam 2 pagi mendapati keadaan terkawal.
Ketika membuat rondaan di Blok Sumayyah pada jam 3 pagi, katanya, seorang pelajar memaklumkan ada pelajar pengsan di longkang Blok Rabiatul Adawiyah.
Inkues kes kematian Zara Qairina dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku Koroner.
Prosiding dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad, bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Barisan pihak berkepentingan membabitkan peguam kepada ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, diwakili Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Pihak berkepentingan mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, diwakili peguam Sherzali Herza Asli, Nur Rafeeqa Afdul Mutalib dan Clarice Vyonne Conrad.
Pihak berkepentingan peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, Phang Fui Fong, dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada remaja yang didakwa dalam kes buli Zara.
Turut menjadi pihak berkepentingan, peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Sylyester Kuan bersama Fareez Salleh mewakili empat lagi remaja tertuduh kes buli Zara.
Menurut laporan BH Online, Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Dilaporkan dia dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat ke atas jenazah pelajar berkenaan.











