Rakyat Palestin di Jalur Gaza pada Sabtu terus menjadi mangsa serangan maut Zionis Israel, sekali gus menggambarkan dengan jelas betapa badan dunia dan negara kuasa besar gagal dalam menghentikan perang yang berterusan hampir dua tahun itu.
Agensi Berita & Info Palestin (WAFA) dalam laporan terbaru malam tadi, melaporkan sekurang-kurangnya lima lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Khan Yunis dan Gaza.
Menurut koresponden WAFA, tentera Israel menyasarkan perhimpunan rakyat di Jalan Trans di kejiranan Al-Amal di utara Khan Yunis di selatan Jalur Gaza, membunuh tiga dan mencederakan beberapa yang lain.
Selain itu, seorang orang awam terbunuh apabila tentera pendudukan Israel menyasarkan sebuah rumah dekat stesen minyak Tamraz di Jalan Al-Jalaa di bandar Gaza.
Seorang lagi orang awam turut terbunuh apabila tentera pendudukan menyasarkan sebuah rumah di timur Persimpangan Asqoula di kawasan kejiranan Al-Zeitoun, tenggara bandar itu.
Ramai orang awam dilaporkan cedera apabila jet pejuang Israel melanda sebuah rumah milik keluarga Al-Sharif di Jalan Hamid, barat bandar Gaza.
Dalam laporan sebelumnya malam tadi, dua rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan udara Israel di bandar Gaza, pada petang Sabtu, menurut wartawan WAFA.
Jet pejuang Israel, menurut koresponden WAFA, menyasarkan beberapa bangunan berhampiran Hospital Al-Quds di kejiranan Tel al-Hawa, barat daya bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Dalam laporan lebih awal petang Sabtu, WAFA memetik sumber perubatan melaporkan sekurang-kurangnya 45 orang awam Palestin, termasuk 29 dari bandar Gaza, terbunuh pada Sabtu oleh tembakan dan bedilan Israel yang berterusan di kawasan berbeza di Jalur Gaza.
Pasukan pendudukan (Israel) juga dilaporkan memusnahkan Menara Al-Nour di kawasan kejiranan Tal Al-Hawa, barat daya bandar Gaza.
Menurut WAFA, pada Jumaat sahaja, 70 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di jalur itu, menjadikan jumlah kematian rakyat Palestin akibat pencerobohan Israel yang berterusan di Jalur Gaza sejak Oktober 2023, kepada 64,803, yang majoritinya kanak-kanak dan wanita. Serangan itu juga mengakibatkan 164,264 yang lain cedera.