Kapal Libya, Omar al-Mukhtar berlayar pada Ahad untuk menyertai Global Sumud Flotilla yang bertujuan mematahkan sekatan Israel di Jalur Gaza selepas dilengkapi dengan unit rawatan rapi bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk armada itu, menurut laporan Anadolu.
Ia berlaku selepas kapal itu tidak dapat berlayar pada Rabu kerana keadaan cuaca buruk, jurucakap kapal itu, Nabil al-Soukni, memberitahu Anadolu.
“Kami kini bersedia sepenuhnya dengan semua peralatan kami, dan kami meningkatkan simpanan bekalan untuk beberapa bot yang lebih kecil yang telah kekurangan stok kerana saiznya,” kata al-Soukni.
Tambahnya, mereka juga telah memperuntukkan ruang untuk aktivis dari beberapa bot yang disifatkan tidak sesuai untuk sampai ke Gaza.
Jurucakap itu berkata, Omar al-Mukhtar membawa khemah untuk penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ubat-ubatan, susu formula bayi dan pelbagai bekalan untuk semua peringkat umur di enklaf itu.
“Sokongan popular dan moral yang kami terima daripada beberapa pihak di Libya adalah mesej yang kuat untuk menaikkan semangat anak kapal Omar al-Mukhtar,” tambahnya.
Antara tokoh terkemuka di atas kapal itu ialah bekas Perdana Menteri Libya Omar al-Hassi, bersama aktivis antarabangsa, kata jurucakap itu.
Abdel Rahman Humaid, pegawai perubatan di kapal Omar al-Mukhtar, memberitahu Anadolu, mereka termasuk pasukan kesihatan yang mengiringi dan menubuhkan unit rawatan rapi untuk menyediakan perkhidmatan perubatan untuk flotila antarabangsa.
“Kami melengkapkan kapal dengan peralatan dan ubat-ubatan yang diperlukan dan melengkapkannya dengan segala yang diperlukan untuk rawatan rapi,” kata Humaid.
Baru-baru ini, berpuluh-puluh kapal telah belayar dari pelabuhan Afrika Utara dan Eropah ke arah Gaza sebagai sebahagian daripada Flotilla Sumud Global untuk memecahkan sekatan Israel.
Pada 16 September, Jawatankuasa Antarabangsa bagi Memecahkan Pengepungan Gaza mengumumkan bahawa kapal flotila akan berkumpul dekat negara pulau, Malta untuk belayar bersama-sama merentasi Mediterranean menuju ke pantai Gaza, tanpa menyatakan tarikh.
Ia adalah usaha terbesar seumpamanya yang bertujuan untuk sampai ke Gaza, di mana 2.4 juta rakyat Palestin hidup di bawah sekatan Israel yang telah berlangsung selama 18 tahun.
Israel sebelum ini telah memintas kapal-kapal yang menuju ke Gaza, merampas kapal-kapal itu dan mengusir mereka yang berada di dalamnya.
Menurut Anadolu, penyiasat PBB baru-baru ini membuat kesimpulan bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza, di mana hampir 65,300 orang telah terbunuh sejak Oktober 2023.