Janganlah harta dunia menghancurkan kamu

Daripada Amr bin Auf Al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW mengirim Abu Ubaidah bin Al-Jarrah RA ke Bahrain, dia datang (ke tempat itu) untuk jizyah. Kemudian, dia datang (kembali) dengan (membawa) harta dari Bahrain. Maka, orang-orang Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah. Maka, mereka menunaikan solat fajar bersama-sama Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah SAW selesai melakukan solat, maka baginda kembali. Selanjutnya, mereka bermaksud untuk menemui baginda. Rasulullah SAW tersenyum ketika melihat mereka, kemudian baginda bersabda: Saya kira kamu semua sudah mendengar bahawa Abu Ubaidah telah tiba dari Bahrain dengan membawa perbendaharaan!

Mereka menjawab: Benar, wahai Rasulullah!

Baginda bersabda: Bergembiralah kamu semua dan bolehlah mengharapkan sesuatu yang akan menyenangkan kamu semua. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang saya takutkan menimpa kamu semua, tetapi saya takut jika harta dunia ini diluaskan untuk kamu semua, sebagaimana diluaskan untuk umat-umat sebelum kamu, kemudian kamu saling berlumba-lumba untuk mencarinya sebagaimana mereka juga berlumba-lumba untuk mengejarnya, lalu harta dunia menghancurkan kamu sebagaimana ia telah menghancurkan mereka. (Hadis muttafaq alaih [disepakati ke atasnya – disebutkan dalam Sahih al-Bukhari & Muslim], menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 349)

HURAIAN

Antara huraian diberikan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya ialah mengenai Bahrain, dinamakannya nama itu “kerana menyatukan antara laut air tawar dan air masin”. “Air tawar berada di bawah laut. Apabila pemisah di antara keduanya digali, maka air tawar akan muncul dan naik ke permukaan.”

Dijelaskan juga bahawa, Ibnu Batthal berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa bagi orang yang dibukakan baginya kemegahan dunia, seharusnya waspada akan akibat dan keburukan fitnahnya.