Tentera Israel menahan kira-kira 100 rakyat Palestin di pekan Beit Ummar, utara Hebron di selatan Tebing Barat yang diduduki, selepas menutup semua pintu masuk pekan itu awal Rabu, lapor Anadolu.
Menurut laporan Anadolu, operasi itu dilakukan beberapa jam selepas seorang peneroka Israel terbunuh dan tiga lagi cedera, seorang kritikal, dalam serangan rempuh dan tikaman di persimpangan Gush Etzion di selatan Tebing Barat.
Serangan itu dilakukan oleh dua rakyat Palestin, seorang daripada mereka dari Beit Ummar, yang ditembak mati oleh tentera Israel, lapor Anadolu.
Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Palestin dilapor berkata Pihak Berkuasa Hal Ehwal Awam Palestin – perhubungan rasmi dengan Israel – memaklumkan bahawa Imran al-Atrash dari Hebron dan Walid Mohammed Sabarneh dari Beit Ummar terbunuh dalam tembakan Israel dekat Bethlehem di selatan Tebing Barat.
Tentera Israel menyerbu Beit Ummar awal Rabu dan menyerbu berpuluh-puluh rumah, termasuk rumah keluarga Sabarneh, merosakkan kandungannya, saksi dilapor berkata kepada Anadolu.
Menurut mereka, tentera melancarkan kempen penangkapan secara meluas di pekan itu, menahan kira-kira 100 orang.
Anadolu melaporkan, menurut saksi, tentera menjadikan stadium perbandaran itu sebagai tapak tahanan sementara dan soal siasat.
Tentera Israel dilaporkan telah meningkatkan serangannya di Tebing Barat sejak meletusnya perang Gaza pada Oktober 2023.











