Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan 93 yang lain cedera dalam serangan Rusia ke atas bandar Ternopil di barat Ukraine pada Rabu, menurut polis nasional, Xinhua melaporkan.
“Operasi mencari mereka yang masih tidak diketahui keberadaannya diteruskan di Ternopil,” polis dilaporkan berkata dalam satu kiriman di Telegram pada pagi Khamis.
Serangan semalaman itu melanda dua bangunan pangsapuri dan tiga kanak-kanak adalah antara mangsa, katanya.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri melaporkan 46 orang telah diselamatkan dari bawah runtuhan, dengan pencarian masih dijalankan.
Tentera Udara Ukraine dilapor berkata bangunan pangsapuri di Ternopil dilanda peluru berpandu jelajah Kh-101 yang dilancarkan oleh pengebom strategik Tu-95 dan Tu-160 Rusia. Secara keseluruhan, Rusia melancarkan 476 dron dan 48 peluru berpandu di Ukraine semasa serangan itu, di mana 442 dron dan 41 peluru berpandu telah dipintas, lapor Xinhua.











