Angka kematian akibat tanah runtuh di dua wilayah di Jawa Tengah Indonesia meningkat kepada 30 ketika usaha menyelamat diteruskan, kata agensi mitigasi bencana negara itu pada Jumaat, Reuters melaporkan.
Kira-kira 21 orang masih hilang selepas tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat melanda bandar Cilacap minggu lalu dan wilayah Banjarnegara pada hujung minggu, lapor Reuters memetik agensi itu.
Pasukan penyelamat menemui 7 lagi mayat di Banjarnegara, kawasan paling teruk terjejas, pada Khamis, menjadikan jumlah kematian kepada 10 dengan 18 masih hilang, Abdul Muhari, jurucakap agensi itu dilaporkan berkata dalam satu kenyataan lewat Khamis.
Berpuluh-puluh rumah rosak, tujuh orang cedera, dan lebih 900 penduduk dipindahkan berikutan tanah runtuh di sana, kata Abdul Muhari.
Sekurang-kurangnya 700 penyelamat termasuk anggota polis dan tentera terus mencari mangsa yang hilang, menggunakan jengkaut untuk mempercepatkan pencarian, dia dilapor berkata.
Di Cilacap, pasukan penyelamat menemui empat lagi mayat minggu ini menjadikan jumlah kematian kepada 20 dengan tiga orang masih hilang, Abdul Muhari dilapor berkata.
Pihak berkuasa dilaporkan telah melanjutkan operasi mencari di sana sehingga minggu depan, dan hampir 400 penduduk telah dipindahkan.
Musim hujan di Indonesia bermula pada September dan akan berterusan sehingga April, menurut agensi cuaca, meningkatkan risiko banjir dan hujan lebat di banyak kawasan, lapor Reuters.











