Sekurang-kurangnya 41 orang terkorban dalam banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat di Maghribi pada Ahad, kata pihak berkuasa pada Isnin, menurut berita Xinhua.
Di wilayah pantai Atlantik di Safi, pihak berkuasa tempatan berkata dalam satu kenyataan bahawa jumlah kematian telah meningkat kepada 37 orang, dengan 14 orang yang cedera menerima rawatan di hospital tempatan.
Di wilayah selatan di Tinghir, empat orang terbunuh selepas kenderaan mereka dihanyutkan arus deras dan terbalik ke dalam sungai antara kawasan Fezou dan El Hafira, Xinhua memetik laporan saluran berita tempatan Hibapress.
Kenyataan itu mengatakan banjir di Safi disebabkan oleh ribut petir yang kuat yang berlaku dalam masa kira-kira sejam.
Berpuluh-puluh rumah dan kedai di bandar Safi dibanjiri, manakala kenderaan terbalik atau dihanyutkan oleh arus deras. Jalan raya juga rosak, menyebabkan gangguan lalu lintas yang meluas.
Pihak berkuasa Maghribi memberi amaran lebih banyak hujan dijangka turun dalam beberapa hari akan datang. Sekolah-sekolah di empat wilayah ditutup pada Isnin, dan operasi tindak balas kecemasan berskala besar telah dilancarkan, lapor Xinhua.











