Jumlah kematian dalam kebakaran di sebuah rumah persaraan di Tuzla di utara Bosnia meningkat kepada 11 orang pada Rabu dan kira-kira 30 orang cedera, kata polis dan pendakwa raya, menurut Reuters.
Kebakaran itu dilaporkan memusnahkan tingkat tujuh bangunan lama pada petang Selasa, menyebabkan api dan asap keluar dari tingkat atas ke langit malam. Puncanya masih belum jelas.
“Saya melihat api dan asap yang besar, dan warga emas serta orang yang tidak berdaya berdiri di luar,” Admir Vojnic, yang tinggal berhampiran dengan rumah persaraan itu, dilapor berkata kepada Reuters.
Media tempatan mengatakan ramai yang mati mempunyai kecacatan dan mereka yang diselamatkan dipindahkan oleh kru kecemasan dari tingkat atas ke tingkat bawah. Sebahagian daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Jasmin Habul, timbalan komander bomba Tuzla, berkata dua pasukan bomba disertai oleh kru sukarelawan.
“Situasi itu sangat sukar kerana (ini melibatkan) orang yang tidak bergerak, apabila penyelamatan dan pemindahan berlaku serentak,” Habul dilapor berkata kepada Reuters.
Pengenalpastian mangsa akan bermula lewat pada Rabu, ketua pendakwa raya kanton Tuzla, Vedran Alidzanovic dilapor berkata pada sidang akhbar.











