Angka maut dalam runtuhan bangunan pondok pesantren di Jawa Timur meningkat kepada 65

Angka kematian akibat runtuhan sebuah sekolah di Indonesia minggu lalu telah meningkat kepada 65 orang, menurut laporan Reuters memetik pihak berkuasa pada Isnin.

Menurut laporan itu, penyelamat terus mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan, tujuh hari selepas bencana itu.

Struktur bangunan jatuh menimpa pelajar, kebanyakannya lelaki berumur antara 12 dan 19 tahun, pada Isnin, 29 September, saat solat Asar, di pondok pesantren Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.

Menurut Reuters, Mohammad Syafii, ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, berkata lebih banyak mayat dan bahagian badan telah ditemui, menjadikan jumlah kematian yang disahkan kepada 65 orang.

Masih tidak jelas berapa ramai orang yang masih hilang. Syafii memberitahu pemberita operasi mencari akan diteruskan sehingga penyelamat “pasti tiada mangsa yang tinggal”.

Pihak berkuasa dilaporkan berkata, punca runtuhan adalah kerja pembinaan di tingkat atas yang tidak dapat disokong oleh asasnya.

Di seluruh Indonesia, terdapat kira-kira 42,000 bangunan sekolah Islam, yang dikenali secara tempatan sebagai pesantren, menurut Reuters memetik data daripada kementerian hal ehwal agama.

Namun hanya 50 mempunyai permit bangunan, menteri kerja raya Dody Hanggodo dipetik sebagai berkata oleh media tempatan pada Ahad.

Tidak jelas sama ada Al Khoziny mempunyai permit bangunan. Menurut Reuters, ia tidak dapat segera menghubungi pihak berkuasa sekolah untuk mendapatkan komen.