Apa tanggungjawab kita menghadapi mereka dalam kesusahan

Detik ini, barangkali ada yang tertawa terbahak-bahak, kerana berasa geli hati. Namun, harus diingat, ketawa keterlaluan bukan satu akhlak terpuji, apatah lagi sampai mentertawakan orang lain kerana merendah-rendahkannya.

Walaupun banyak waktu kita ceria dan bersenang-lenang, tetapi sekali-sekala kesusahan menghimpit diri boleh jadi mencengkam jiwa untuk suatu tempoh yang panjang. Sebab itu, kita perlu selalu waspada dan saling mengingatkan antara satu sama lain.

Ada orang menghadapi banjir besar, kebakaran dan gempa bumi atau setidak-tidaknya kemalangan jalan raya seperti yang selalu kita dengar, kita baca dan tonton di siaran berita. Apa tanggungjawab kita menghadapi saudara-mara, saudara seagama ataupun sesama manusia tanpa mengira beza anutan, warna kulit, sempadan geografi apabila mereka menghadapi kesusahan atau detik sukar? 

MENGHULURKAN BANTUAN

Mujur sekiranya banyak pihak melahirkan simpati, tampil mengusulkan usaha dan menghulurkan bantuan, malah menjenguk mereka untuk mengambil tahu masalah dihadapi. Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban mereka.

Semangat dan gerak kerja seumpama itu satu kebaikan yang harus dicontohi. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 215 bermaksud: “Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”

MENGHULURKAN DERMA

Memberi bantuan iaitu dengan menderma atau bersedekah adalah amal soleh yang dapat membawa kebajikan dan kemakmuran bagi masyarakat secara keseluruhan tidak mengira agama dan kaum.

Sifat suka menderma adalah amal soleh yang bakal diberikan dengan kehidupan yang baik, sebagaimana dijelaskan dalam surah an-Nahl, ayat 97 bermaksud:

“Sesiapa beramal soleh daripada lelaki dan perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami membalas mereka dengan memberikan pahala lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.”

Orang bertakwa, salah satu cirinya ialah mendermakan hartanya. “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa.

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang yang berbuat perkara baik.” (Ali-Imran, ayat 133 hingga 134)

Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW selalu membantu golongan susah. Daripada Jabir RA, katanya: “Tidak pernah sama sekali Rasulullah SAW diminta sesuatu, kemudian baginda menjawab tidak.” (Muttaqaq alaih)

MENANGGUHKAN PEMBAYARAN HUTANG

Langkah pihak pemberi hutang melonggarkan urusan pembayaran kepada mangsa ditimpa musibah adalah satu langkah harus dipuji. Dan adalah lebih baik jika dapat disedekahkan hutang itu terutama bagi mereka tidak berkemampuan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 280 bermaksud: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya. Dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu kalau mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu dapat kelak).”

Daripada Abu Qatadah RA, dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa ingin diselamatkan Allah daripada suatu kesulitan hari kiamat, hendaklah menghilangkan (kesulitan dan kesusahan) daripada orang yang tertimpa kesulitan (untuk membayar hutang) atau membebaskan hutangnya.” (Riwayat Muslim)

Mudah-mudahan, usaha dan sumbangan kita mendapat reda dan berkat daripada Pencpta alam ini. Bagi yang terkena musibah, banyakkan bersabar. Kata Imam al-Junaid: “Ia ibarat menelan pahit tanpa merasakan pahitnya.”