Pasukan penyelamat dalam bot bergegas untuk menemui keluarga yang terkandas di wilayah timur Punjab yang ramai penduduk Pakistan pada Khamis, selepas tiga sungai utama pecah tebing kerana hujan lebat dan pelepasan air dari empangan melimpah di negara jiran India, lapor AP.
Banjir dilaporkan menyebabkan hampir 250,000 orang terpaksa berpindah dan pegawai berkata, lebih 1 juta orang terjejas, dengan tanaman dan perniagaan musnah dan ramai yang tidak dapat meninggalkan rumah mereka.
Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh sehari sebelumnya di daerah Gujranwala dan kampung berdekatan, AP memetik polis.
Peramal dilaporkan berkata, lebih banyak hujan dijangkakan pada Jumaat, selepas jeda dua hari, dan boleh berterusan hingga minggu depan.
Menteri wilayah Marriyum Aurangzeb dipetik berkata, banjir melanda 1,432 kampung yang terletak di sepanjang sungai Ravi, Sutlej dan Chenab, menjejaskan kira-kira 1.2 juta orang dan 248,000 yang lain terpaksa berpindah.
Hampir 700 kem bantuan dan 265 kem perubatan telah didirikan di kawasan dilanda banjir, dia dipetik berkata, sambil menambah bahawa makanan dan bekalan penting lain sedang dihantar ke kawasan dilanda banjir.
Menurut laporan AP, banjir telah membunuh lebih 800 orang di Pakistan sejak akhir Jun.
Di wilayah Jammu Kashmir dikuasai India, beberapa hujan paling lebat dalam beberapa dekad untuk Ogos dilaporkan telah mendatangkan malapetaka, mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh yang turut melanda dua laluan ziarah Hindu di kawasan Himalaya.
Rumah telah ditenggelami air, jalan serta jambatan rosak, memaksa pihak berkuasa India memindahkan beribu-ribu orang yang tinggal di kawasan banjir. Sekurang-kurangnya 115 orang telah terbunuh dan sejumlah lagi cedera, menurut laporan AP.











