Bekas Presiden Peru, Martin Vizcarra dijatuhi hukuman penjara 14 tahun pada Rabu kerana menerima rasuah, menurut pihak berkuasa tempatan, Xinhua melaporkan.
Vizcarra menghadiri perbicaraan di Mahkamah Fourth National Criminal Collegiate, di mana Hakim Fernanda Ayasta mengumumkan hukuman ke atasnya kerana menerima rasuah semasa dia berkhidmat sebagai gabenor wilayah Moquegua, lapor Xinhua.
Kes itu dilaporkan membabitkan dua projek pembinaan, sistem pengairan Lomas de Ilo dan Hospital Moquegua, yang masing-masing dikenakan hukuman enam dan lapan tahun.
Menurut hakim, Vizcarra menerima kira-kira 2.3 juta soles (kira-kira 690,000 dolar AS) dalam sumbangan haram daripada syarikat Obrainsa dan Contratistas Generales SAT melalui komisen dan pembayaran berperingkat, lapor Xinhua.
Selain hukuman penjara, mahkamah juga melarang Vizcarra daripada memegang jawatan awam selama sembilan tahun dan memerintahkan dia membayar 94,900 soles sebagai ganti rugi sivil.
Susulan keputusan itu, Vizcarra melayari media sosial, mendakwa dia menjadi mangsa “balas dendam” kerana mencabar apa yang disifatkannya sebagai “pakatan mafia”. (1 sol Peru = 0.3 dolar AS)











