Hari ini anda dapat menyaksikan dengan ketara betapa maklumat menguasai segala-galanya. Ia memandu anda kepada kebenaran dan kejayaan, namun di sisi berbeza boleh saja membawa kepada kesesatan dan kerugian.
Maklumat pada asasnya adalah sesuatu yang membolehkan anda belajar, tahu dan faham mengenainya, namun bukan semua. Maklumat yang palsu ataupun daripada sumber yang boleh dipertikaikan hanya membuatkan anda keliru dan sia-sia.
Terpengaruh dengan maklumat palsu juga meletakkan diri anda dalam bahaya. Boleh jadi dengan keyakinan kepada maklumat palsu itu mendorong anda bertindak tidak wajar yang akhirnya anda sendiri kecewa.
Maklumat yang benar adalah pengetahuan yang boleh dibuktikan, dijadikan pegangan dan berguna dalam merencanakan kehidupan.
Apabila memperkatakan mengenai pengetahuan, yang paling benar lagi mulia dan dapat dijadikan pegangan kukuh tentulah bersumberkan Tuhan iaitu ilmu pengetahuan berteraskan wahyu.
Ia adalah ilmu pengetahuan paling tinggi kedudukannya kerana menjadi sumber kepada kewujudan ilmu lain yang mampu digarap oleh akal manusia yakni ilmu kemanusiaan.
Bagaimanapun, ilmu kemanusiaan tertakluk juga kepada perubahan dan kesalahan, melainkan jika disahkan benar oleh ilmu wahyu.
Sifat ilmu kemanusiaan adalah relatif iaitu saling berkait ataupun tidak mutlak.
Kebenarannya sering dipengaruhi oleh kelemahan sifat manusia termasuk nafsu, kejahilan, buruk sangka, berat sebelah, kesilapan intuisi, persepsi mahupun metodologi.
Maklumat palsu berpijak pada kejahilan, sangkaan dan spekulasi. Ia tidak membawa kebaikan, sebaliknya menimbulkan kekacauan dan kerosakan.
Kejahilan bukan hanya gersang daripada ilmu, bahkan dimengertikan juga sebagai kefahaman salah terhadap suatu perkara atau kefahaman tidak menepati dengan yang sebenarnya.
Orang yang mengikuti sesuatu dicapainya atau disampaikan kepadanya berdasarkan kejahilan dan sangkaan adalah orang terpesong daripada kebenaran. Mereka sentiasa dilanda perasaan cemas.
Al-Quran berulang kali menegaskan bahawa ramai yang terpesong daripada agama Allah kerana mereka berpegang teguh kepada sangkaan dan kepalsuan, bukan kepada ilmu dan kebenaran.
Firman-Nya bermaksud: “Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan, yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu daripada azab neraka.” (Surah Shaad, ayat 27)
Dalam surah an-Najm, ayat 28 firman-Nya bermaksud: “Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran.”
Kemudian, firman-Nya dalam surah Ali-Imran, ayat 154 bermaksud: “Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar seperti sangkaan orang-orang jahiliah…”
Ayat 12 daripada surah al-Hujurat bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa…”
Jadi, orang beriman diperintahkan oleh Allah supaya menjauhkan diri daripada sangkaan terutama sangkaan buruk kerana ia tidak sedikit pun menyumbang kepada kebenaran, malah sebahagiannya adalah dosa.
Pepatah Arab ada mengungkapkan: “Tiada suatu daya kekuatan yang mengheret diri kepada kerugian lebih daripada sangkaan.”
Seseorang yang percaya benar-benar kepada sesuatu berdasarkan sangkaan sepanjang hidup, tanpa disedari hidupnya itu hanya mengejar bayang-bayang.