Berpuluh rakyat Palestin di Gaza dilaporkan terbunuh, manakala yang lain cedera ketika tentera Israel terus menggempur wilayah itu, pada Sabtu.
Agensi Berita & Info Palestin (WAFA) melaporkan, seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera pada petang Sabtu dalam serangan udara Israel di bandar Gaza.
Memetik sumber tempatan, agensi berita itu melaporkan, serangan itu menyasarkan sebuah bangunan kediaman dekat persimpangan Thai di kejiranan Al-Rimal, di bahagian barat bandar itu.
Sebelumnya, WAFA melaporkan, sekurang-kurangnya 15 orang awam Palestin terbunuh dan yang lain cedera pada Sabtu apabila tentera pendudukan Israel menyerang khemah untuk orang kehilangan tempat tinggal di kejiranan Nasr dan Zeitoun di bandar Gaza.
WAFA turut melaporkan, 22 orang awam Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh cedera pada Sabtu dalam tembakan Israel yang menyasarkan kawasan berbeza di seluruh Jalur Gaza, dengan pengeboman paling berat tertumpu di bandar itu.
Sumber perubatan di hospital Gaza dilaporkan berkata, lapan tiba di Hospital Al-Shifa, tujuh di Hospital Al-Awda, lima di Hospital Syahid Al-Aqsa, dan dua di Hospital Nasser.
Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan 79 rakyat Palestin terbunuh pada Jumaat di seluruh Jalur Gaza, kebanyakannya di bandar Gaza.