“Apabila saya diam, saya mempunyai guruh tersembunyi di dalam.” Demikian antara kata-kata Jalaluddin ar-Rumi, seorang pujangga dan ahli sufi terkemuka yang mutiara katanya mendapat tempat dalam masyarakat Barat.
Petikan itu menggambarkan suatu ciri hebat yang ada pada diam, sebagaimana guruh iaitu suatu bunyi kuat di udara yang biasanya didahului oleh kilat menggerunkan sesiapa mendengarnya.
Sememangnya diam menampilkan susuk personaliti hebat bagi seseorang, berbanding banyak bercakap tapi langsung tiada faedah, malah lebih banyak membuat fitnah dan mereka-reka cerita melalaikan.
Dalam satu hadis, ad-Dailami meriwayatkan daripada Anas, mafhumnya: “Diam adalah tuan akhlak.”
Bagaimanapun, diam di sini bukanlah tidak bersikap ramah kerana keramahan itu suatu anjuran. Ia juga bukan membawa maksud sombong, berat mulut atau antisosial, tapi menjaga diri daripada memperkatakan sesuatu yang dusta dan membawa dosa.
Diam dengan tujuan menjaga diri daripada dosa adalah ketaatan, bahkan satu pengabdian. Sabda Nabi SAW: “Diam adalah setinggi-tinggi ibadat.” (Riwayat ad-Dailami daripada Abu Hurairah)
Manusia suka bercakap dan suka apabila percakapannya didengar, apatah lagi bersama reaksi. Tapi kalau percakapan itu bersimpang siur, meleret-leret sampai keluar daripada satu-satu topik, membuatkan orang menjauh.
Demikian juga, jika bercakap bertujuan mencela dan mempersendakan akan menimbulkan kemarahan orang lain sama ada menyentuh maruah diri, keluarga, keturunan ataupun agama.
Sebab itu, kita jangan terlalu ringan mulut. Bercakap hendaklah pandang-pandang, tengok orang dan keadaan iaitu perlu jaga batas, adab dan lebih penting fahami terlebih dulu topik ingin disampaikan.
Jangan sampai percakapan kita bercampur aduk antara kebenaran dan kepalsuan kerana Allah mengingatkan: “Dan janganlah kamu campur aduk yang benar itu dengan yang salah…” (Surah al-Baqarah, ayat 42)
Peristiwa membuktikan gara-gara banyak bicara akhirnya membawa celaka. Peribahasa Melayu juga menyebut, kerana mulut badan binasa. Namun, berapa ramai yang mengambil iktibar dan memberi perhatian?
Malah dari semasa ke semasa kita dengar ada saja orang terguris hati, bermasam muka, sampai berkelahi dan berdendam, semuanya hanya kerana mulut.
Diriwayatkan daripada Ibrahim an-Nakha’i RA: “Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu itu binasa hanya lantaran tiga perkara; melampaui batas dalam bercakap, melampaui batas dalam makan dan terlalu banyak tidur.” Justeru, sekiranya kita tidak ingin susah dan gelisah, malah hidup bahagia dan tenteram, jagalah lidah daripada mengatakan sesuatu yang tiada faedah, palsu dan mencelakakan.
Seorang sahabat, Ahnaf bin Qais RA pernah berdialog dengan seseorang.
Ahnaf disoal dan menjawab seperti berikut:
Pemberian apa yang terbaik diberikan kepada seorang hamba?
Akal tabii (yang dibawa sejak lahir).
Jika tiada?
Budi pekerti yang baik.
Jika tiada?
Teman yang menolong.
Jika tiada teman yang menolong?
Hati yang tabah.
Jika tiada?
Banyak diam.
Jika tidak ada?
Mati dengan segera.
Begitulah tingginya sikap diam atau menjaga lidah sebagaimana dapat kita perhatikan, sehingga ia diumpamakan sampai ke tahap itu. Mari kita sama-sama amati dan cuba hiasi diri dengannya.
Diriwayatkan oleh al-Qadha’i daripada Anas dan ad-Dailami daripada Ibnu Umar, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, mafhumnya: “Diam adalah hikmah, namun sedikit orang yang melakukannya.”